Bersih buat laporan polis ke atas PM, Musa, Ghani dan
Rashid
(Harakah) - Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) telah membuat laporan
polis ke atas Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan tiga lagi
individu berikutan isu pembatalan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum
yang lalu.
Setiausaha Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa yang membuat laporan itu di Ibu
Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (Tun H.S. Lee) dekat Jalan Stadium hari ini
menegaskan, empat individu tersebut harus bertanggungjawab di atas pembatalan
penggunaan dakwat itu.
Tiga lagi yang disenaraikan dalam laporan polis yang dibuat itu ialah, Peguam
Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Turut serta semasa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang wangi pagi tadi
ialah, calon KeADILan bagi Parlimen Rembau, Badrul Hisham Shaharin dan Jurucakap
National Institute For Electroral Integrity (NIEI), Amin Iskandar.
Empat hari sebelum pilihan raya umum pada 8 Mac lalu, SPR telah mengumumkan
pembatalan penggunaan dakwat dengan alasan keselamatan dan ada pihak yang telah
membeli dakwat itu bagi tujuan penyelewengan, ujar Faisal.
SPR dikatakan telah menggunakan RM2.4 juta wang rakyat untuk membeli dakwat
kekal dari India untuk digunakan pada pilihan raya lalu, katanya.
Bagaimanapun kata Faisal, SPR baru-baru ini memberitahu media bahawa kabinet
Abdullah Ahmad Badawi yang sebenarnya membantah penggunaan dakwat kekal pada
pilihan raya umum yang lalu.
Sementara itu katanya, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar pula
mendedahkan di Parlimen yang laporan polis berasakan kepada khabar angin
mengenai pembelian dakwat kekal oleh parti-parti politik untuk tujuan
penyelewengan pilihan raya.
Baginya, jelas sebenarnya pengumuman pembatalan penggunaan dakwat itu hanyalah
helah untuk menyelamatkan kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum lalu.
Jelaslah di sini bahawa kabinet Abdullah Badawi tahu yang mereka akan kalah
dalam pilihan raya ke-12 yang lalu jika dakwat kekal digunakan, katanya.
"Jelas juga yang SPR hanyalah alat Barisan Nasional untuk menipu rakyat dalam
pilihan raya umum," ujarnya.
Dengan laporan polis yang dibuat itu, Bersih mendesak kesemua terbabit
meletakkan jawatan sebagai tanggungjawab terhadap rakyat Malaysia oleh kerana
bersekongkol.
Bagi Bersih, Polis dan Peguam Negara hanya dijadikan alat untuk membantu BN
memanipulasi pilihan raya yang lalu, ujarnya.
Sementara itu Jurucakap National Institute For Electroral Integrity (NIEI), Amin
Iskandar yang turut serta bersama Bersih membuat laporan itu mengecam tindakan
berupa penipuan yang dilakukan SPR, Perdana Menteri, Musa dan Peguam Negara.
"Selepas membazirkan wang rakyat sejumlah RM2.4 juta, mereka akhirnya menipu
rakyat terang-terang selepas mereka mendapat maklumat akan kalah pada pilihan
raya umum lalu," kata Amin yang juga pernah membuat pemantauan pilihan raya di
beberapa buah negara termasuk Afghanistan dan Nepal.
Beliau menyatakan bahawa penggunaan dakwat kekal di negara ini tidak akan
mendatangkan ancaman kepada kerajaan atau keselamatan negara.
Alasan yang diberikan SPR dan pihak berkuasa sebelum pilihan raya lalu amat
dangkal, dan ia mengesahkan bahawa polis sebenarnya yang gagal mengawal
keselamatan negara.
Justeru beliau mendesak siasatan dibuat ke atas Perdana Menteri, Peguam Negara,
Ketua Polis Negara dan Pengerusi SPR berikutan pembohongan tersebut.
"Kita mahu mereka bertanggungjawab dan meletak jawatan segera," tegasnya.
Thursday, May 22, 2008
Komplot Dakwat Hitam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment